ADAKAH CARA TANGKAPAN KHALWAT DI MALAYSIA MENGIKUT SYARIAT ISLAM?

16 06 2010

Dipetik dari tulisan Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin:

Video cadangan untuk ditonton:

http://www.youtube.com/watch?v=V-FwR43XM7M

http://www.youtube.com/watch?v=0FAtmFU3D1U&feature=related

Beberapa hari lalu apabila saya membaca muka depan sebuah akhbar yang mendedahkan tangkapan khalwat ke atas individu tertentu yang dilakukan oleh jabatan agama dan disiarkan secara ‘promosi maruah’ oleh akhbar tertentu saya teringat kepada kenyataan saya pada peringkat awal saya menjadi mufti dua tahun lepas yang membantah tajassus atau mengintip.

Masa itu saya baru sahaja hendak dikenali oleh sesetengah masyarakat negara ini. Sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk mengkritik saya dan menganggap itu pandangan yang ‘menghalalkan’ maksiat. Demikian segelintir kelompok manusia yang cepat menghukum tanpa berfikir dan menilai.

Hari ini saya hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, isu khalwat kembali menjadi tajuk besar media. Saya sudah banyak kali mengulas, namun biarlah saya sentuh lagi sebagai tazkirah isu ini untuk kali yang akhir ketika masih memegang jawatan.

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh menghapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya.

Dahulu saya sudah sebut hal ini. Ada yang enggan mendengarnya kerana mereka merasakan mungkar mesti didedahkan sebagai pengajaran. Padahal Islam mempunyai pendirian yang berbeza. Akhirnya, hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’ sekalipun pelakunya cuba menyembunyikannya, maka kita lihat penyakit ini merebak ke dalam berbagai sektor kehidupan. Politik kita pun, politik lawan selak kain. Ekonomi pun demikian. Akhirnya, harga maruah menjadi murah dalam masyarakat kita.

Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan.

Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam manamana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Gambar di bawah ini diambil oleh HKSH dari kitab Ihya Ulumiddin Karya Imam Ghazali jilid 3


Advertisements

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: